Wednesday, December 2, 2015

BELIA ROMPIN BERTADARUS


Rompin, 08 Julai 2015 Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, Majlis Belia Daerah Rompin dan Jawatankuasa Masjid Tengku Mahkota Abdullah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Rompin telah menganjurkan Program Belia Bertadarus bertemakan Belia Cinta Masjid. Program ini telah berlangsung pada 08 Julai 2015 bersamaan 21 Ramadhan 1436 Hijrah di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Rompin.

Anggaran lebih kurang 150 peserta tadarus telah dijemput bagi menjayakan program tersebut iaitu daripada kalangan pihak Majlis Belia Daerah Rompin, ahli Masjid Tengku Mahkota Abdullah dan juga sekolah-sekolah yang dipilih dari sekitar daerah Rompin. Program tadarus telah dimulakan lebih kurang jam 5.00 petang iaitu setelah melaksanakan solat Asar berjemaah. Selesai bertadarus, program diteruskan dengan khatam Al-Quran dan perasmian penutup program oleh Al-Fadhil Tuan Kadi daerah Rompin, Ustaz Adnan Bin Mamat.

Objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan penghayatan beramal dan beribadah dengan lebih mendalam di bulan yang penuh barakah ini selain dapat merapatkan lagi hubungan ukwah dan jalinan silaturahim sesama belia dengan masyarakat setempat. Program ini juga dilihat mampu memantapkan lagi kemahiran membaca Al-Quran serta membudayakan Al-Quran dalam jiwa belia khasnya.

Sebelum bersurai, para peserta telah berbuka puasa bersama-sama sebelum melaksanakan solat maghrib berjemaah dan seterusnya bertarawikh bersama-sama.

BELIA KAMPUNG MASUK KAMPUNG


Rompin, 25 April 2015 – Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan badan-badan NGO bagi memupuk dan menarik minat para belia untuk terus menabur bakti kepada masyarakat serta membina sahsiah diri sekaligus meningkatkan kualiti kempimpinan. Terbaru ini satu program khidmat masyarakat Orang Asli telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Orang Asli Sepang dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia dan JKK Kampung Orang Asli Kemendol, Kuala Rompin, Pahang iaitu Program Belia Kampung, Masuk Kampung 2015.

Program yang telah berlangsung di Kampung Orang Asli Kemendol, Kuala Rompin, Pahang ini telah disertai oleh seramai lebih kurang 40 orang daripada Gabungan Belia Orang Asli Selangor dan anggaran 150 orang belia dan penduduk dari sekitar Kampung kemendol sendiri sebagai tuan rumah bagi tahun 2015 ini. Antara pengisian program ialah Motivasi & Pembangunan Minda, Gotong-Royong dan Ziarah.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Muhammad Olian Bin Abdullah. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Encik Wan Mahazani Bin Wan Tahir, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin dan wakil pengarah dari Jabatan Orang Asli Negeri Pahang.

Objektif penganjuran program ini adalah bagi melatih belia secara amali melaksanakan tugas mendidik dan berbakti kepada komuniti sekitar dan masyarakat. Selain itu juga program ini dilihat mampu memupuk semangat kemasyarakatan dan sekaligus melahirkan belia yang bersahsiah terpuji dan kepimpinan yang berkualiti.


Program sebegini diharap dapat di teruskan lagi di masa akan datang dan di perluaskan lagi di daerah-daerah atau negeri lain.

Sunday, July 12, 2015

JELAJAH BELIA & SEKOTAK KASIH RAMADHAN DI ROMPIN 2015


Rompin, 05 Julai 2015 Bagi menyemarakkan lagi kehangatan di bulan Ramadhan ini satu program jelajah dan amal telah dianjurkan oleh Majlis Belia Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Pahang iaitu Program Jelajah Ramadhan Belia Pahang dan Sekotak Kasih Ramadhan. Pelepasan penjelajahan telah berlangsung di Wisma Belia Indera Mahkota, Kuantan, Pahang oleh YB Dato’ Haji Mohd. Johari Bin Haji Hussain, Exco Belia Dan Sukan Negeri Pahang.
Penjelajahan yang telah berlangsung selama 3 hari 2 malam itu telah bermula dari 3 hingga 5 Julai 2015 dan telah melibatkan 11 buah daerah dalam negeri Pahang.  Daerah Rompin merupakan destinasi yang ke 10 iaitu selepas daerah Bera. Rombongan penjelajahan di daerah Rompin telah disambut mesra oleh pihak Majlis Belia Daerah Rompin dan Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin.


Majlis penyerahan Sekotak Kasih Ramadhan bagi daerah Rompin telah disempurnakan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Rompin oleh Pengerusi Majlis Belia Negeri Pahang kepada Pengerusi Majlis Belia Daerah Rompin, saudara Mohd. Hafez Bin Bakar. Turut hadir memeriahkan lagi majlis tersebut ialah Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin, Encik Wan Mahazani Bin Wan Tahir.


Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan bagi berkongsi nikmat ramadhan dan keriangan bagi menyambut Syawal yang bakal menjelma dan mendekatkan lagi golongan belia dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira peringkat umur. Program sebegini dilihat mampu menyemai sikap prihatin dan rasa tanggungjawab kepada golongan belia serta menyuntik dan menyemarakkan lagi penghayatan Ramadhan yang mulia ini.


Selesai majlis penyerahan, rombongan jelajah melaksanakan solat zohor berjemaah di masjid tersebut sebelum meneruskan lagi penjelajahan ke destinasi terakhir iaitu daerah Pekan dan seterusnya menuju ke daerah Kuantan untuk Majlis Berbuka Puasa dan Tarawikh. 

Saturday, July 11, 2015

INSPIRED iTALENT DAERAH ROMPIN 2015


Rompin, 26 April 2015 – Terbaru ini seramai 34 orang kurang upaya (OKU) iaitu terdiri daripada 13 orang perempuan dan 21 orang lelaki telah menyertai Program Inspire iTalent dengan jayanya. Program yang telah berlangsung di Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin, Pantai Bernas itu telah memberi peluang dan ruang kepada golongan OKU ini untuk menyerlahkan lagi bakat kesukanan yang ada dalam diri masing-masing.


Program yang bermula sekitar jam 9.00 pagi itu telah dirasmikan oleh Encik Najhan Bin Mohamed, Penolong Pegawai Belia Dan Sukan di Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Pahang. Dalam ucapan perasmian beliau menyeru agar golongan kurang upaya ini mempertingkatkan lagi rasa keyakinan diri untuk terus maju ke hadapan kerana golongan tersebut adalah istimewa dalam masyarakat. Turut hadir memeriahkan program ialah Encik Wan Mahazani Bin Wan Tahir, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin.



Tujuan utama penganjuran program ini ialah untuk mengukur serta menguji tahap keupayaan umum golongan orang kurang upaya (OKU) dari segi kesukanan. Selain itu, penganjuran program juga adalah bertujuan untuk memilih peserta OKU yang berkelayakan untuk di ketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.


Harapan pihak penganjur semoga program sebegini dapat di teruskan di masa-masa akan datang bagi memberi peluang dan ruang kepada golongan orang kuran upaya (OKU) tampil menyerlah dan seterusnya mengharumkan nama negara.


Thursday, July 9, 2015

KLINIK WOODBALL PERINGKAT DAERAH ROMPIN 2015


Rompin, 25 April 2015 – Kelab Woodball Kuala Rompin dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rompin baru-baru ini telah menganjurkan Program Klinik Woodball Peringkat Daerah Rompin dengan jayanya. Program ini telah diadakan di Laman Woodball Pantai Hiburan, Kuala Rompin, Pahang bermula seawal 8.00 pagi.


Program yang telah disertai oleh lebih kurang 60 orang peserta ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohd. Johari Bin Hussain, Exco Belia dan Sukan Negeri Pahang merangkap ADUN Tioman dan juga merupakan Penaung bagi Kelab Woodball Kuala Rompin. Turut hadir memeriahkan program ini ialah Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rompin, Encik Wan Mahazani Bin Wan Tahir.

   
Tujuan dan juga matlamat utama penganjuran klinik ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru di kalangan belia di daerah Rompin untuk di ketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Penganjuran klinik sebegini juga dilihat mampu memupuk semangat kesukanan dikalangan belia serta menarik minat para belia untuk meminati sukan woodball ini.


Pihak penganjur berharap agar program sebegini dapat di teruskan lagi di masa akan agar dapat meneruskan kesinambungan sukan ini di Daerah Rompin sekaligus mengurangkan penglibatan belia dalam aktiviti yang kurang sihat dan tidak terkawal.



Thursday, October 23, 2014

PERTANDINGAN SEPAK TAKRAW LIGA SUKAN UNTUK SEMUA (LSUS) DAERAH ROMPIN MENDAPAT SAMBUTAN 2014


Rompin, 18 Oktober 2014 – Dengan kerjasama Persatuan Takraw Daerah Rompin baru-baru ini Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin telah menganjurkan Kejohanan Takraw Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) Peringkat Daerah Rompin dengan jayanya. Sebanyak 24 buah pasukan dari seluruh daerah Rompin telah menyertai kejohanan tersebut untuk merebut gelaran johan. Pihak penganjur telah memilih Dewan Majlis Sukan Negara (MSN) Rompin untuk melangsungkan program tersebut.


Program kejohanan dihangatkan lagi dengan kehadiran bekas jurulatih elit sukan takraw negara, Encik Iskandar Arshad. Beliau yang turut bermain dalam acara kejohanan turut meluangkan sedikit masa untuk berkongsi pengalaman beliau dalam sukan takraw negara kepada para belia yang berminat dan yang menanam azam untuk meneruskan karier dalam acara sukan takraw ini.


Program telah dilengkapkan lagi dengan acara penyampaian hadiah yang telah disempurnakan oleh Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin, Encik Mohd. Izuddin Bin Ilias. Pihak penganjur berharap agar para belia yang telah menyertai program ini dapat memanfaatkan setiap teknik yang telah cuba disampaikan dan dipraktikkan disepanjang program berlangsung agar mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi kelak.


Wednesday, October 22, 2014

PERTANDINGAN HOKI SEMPENA LIGA SUKAN UNTUK SEMUA (LSUS) DAERAH ROMPIN 2014


Rompin, 18 Oktober 2014 – Sempena Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) Peringkat Daerah Rompin 2014 baru-baru ini Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Rompin dan Majlis Sukan Daerah Rompin dengan kerjasama Persatuan Hoki Daerah Rompin telah menganjurkan satu Kejohanan Hoki bertempat di Padang Majlis Daerah Rompin. Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu telah disertai oleh 10 pasukan dari seluruh daerah Rompin, Pahang.


Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Rompin, Encik Mohd Izuddin Bin Ilias turut hadir meluangkan masa bagi memeriahkan lagi acara kejohanan sekaligus menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang. Turut hadir ialah Setiausaha Persatuan Hoki Daerah Rompin, Encik Nasaruddin Bin Zainal Abidin.


Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk mencari pemain hoki pelapis dan juga yang berbakat bagi mewakili daerah Rompin ke LSUS peringkat negeri yang bakal berlangsung sekitar bulan November akan datang. Penganjuran program sebegini dilihat mampu memupuk semangat kesukanan dan kerjasama di kalangan para belia sekaligus memberi ruang kepada para belia untuk menimba ilmu dan pengalaman bermain hoki daripada para pemain yang lebih mahir serta banyak pengalaman.